Pemikiran rasional dan tidak terikut-ikut ditunjukkan rakyat negeri ini amat dihargai
KUCHING: Warga Indo-nesia di Sarawak amat bersyukur dan menghargai sikap penduduk tempatan tidak terikut-ikut untuk mengancam keselamatan mereka meskipun gerakan anti-Malaysia semakin me-nular di negara republik itu.
Sambil berharap keadaan aman berterusan, Pemangku Konsulat Jeneral Indonesia Rafail Walingitan berkata pejabat mereka di sini tidak menerima sebarang aduan daripada mereka yang bekerja dan melancong di Sarawak.
“Kami amat menghargai sikap penduduk tempatan kerana tidak terikut-ikut dengan tindakan pihak yang menyebarkan sentimen anti-Malaysia di Jakarta atau Kalimantan Barat.
“Penduduk di sini mampu berfikir secara rasional dan kita bersyukur dengan sikap rasional yang ditunjukkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Rafail bagaimanapun berkata, peringatan telah dikeluarkan kepada warga Indonesia yang berada di Sarawak agar sentiasa berjaga-jaga terhadap sebarang bentuk ancaman.
Malah, mereka juga turut diberi peringatan agar tidak terikut-ikut dengan tindakan beberapa kumpulan anti- Malaysia.
Menurut beliau, tindakan beberapa kumpulan merangkumi Kumpulan Benteng Demo-krasi Rakyat (Bendera), Lumbung Informasi Rakyat (LIRA) dan Gerakan Rakyat Anti Malaysia (GERAM) bukan menggambarkan sikap pemerintah dan majoriti rakyatnya.
“Kita berharap hubungan persahabatan antara dua negara tidak terjejas berikutan tindakan beberapa pihak yang tidak rasional,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tindakan kumpulan-kumpulan tersebut yang mengadakan demonstrasi terhadap Malaysia, berikutan kebebasan bersuara di Indonesia.
“Tetapi perlu juga ada batas-batas. Tidak boleh sesuka hati terutama perkara yang berkaitan hubungan dengan negara-negara lain,” katanya.
Kelmarin, akhbar melaporkan gerakan ‘Ganyang Malaysia’ merebak ke Kalimantan Barat apabila rumah seorang jurutera Malaysia di sebuah ladang sawit di daerah Ketapang dilempar batu besar pada Ahad lalu.
source: the borneo post
0 ulasan:
Catat Ulasan