Nuff Head

02 September 2010

Sumatera Timur enggan berperang dengan Malaysia

JAKARTA - Seorang pemimpin politik Indonesia dari wilayah Sumatera Timur, Irgan Chairul Mahfiz mendakwa, masyarakat Melayu di timur pulau itu tidak akan berperang dengan jirannya, Malaysia, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada sidang akhbar di sini semalam, dia yang merupakan Setiausaha Agung Partai Persatuan Pembangunan, sebuah parti terbesar dan berteraskan agama Islam berkata, penduduk Sumatera mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia.

"Jika berlaku perang dengan Malaysia, kami tidak akan ikut berperang kerana kami amat dekat dari segi kebudayaan dan ikatan persaudaraan hasil proses perkahwinan serta memiliki teras kebudayaan sama iaitu Melayu," katanya.

Irgan berkata, pihaknya berasa kesal dengan tindakan anggota-anggota sebuah badan bukan kerajaan tempatan yang dikenali dengan nama Bendera melemparkan najis ke arah Kedutaan Malaysia di sini pada 23 Ogos lalu.

"Bagi orang Melayu, tindakan itu bukan sahaja memberi tamparan kepada warga Malaysia, tetapi melukai hati masyarakat Melayu, yang punya tradisi saling menghormati dan tidak menghina dengan cara yang kurang elok," katanya.

Bagaimanapun kata Irgan, protes-protes yang dilakukan pihak tertentu sebagai cara menunjukkan kemarahan terhadap kerajaan Malaysia sewajarnya tidak melampaui adat ketimuran yang selama ini dipelihara dengan baik. - Agensi

source: kosmo

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...