Nuff Head

19 Julai 2010

Wawasan 2020 adalah wawasan negara, Kata PM

KUALA LUMPUR 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai wawasan negara dan komited untuk mencapai wawasan itu.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa, walaupun Wawasan 2020 telah diilhamkan oleh Tun Mahathir, tapi kita sudah menerimanya sebagai wawasan negara dan sesiapapun selepasnya (Tun Mahathir) adalah komited untuk mencapai Wawasan 2020,” katanya ketika menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Wawasan 2020 telah diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri keempat itu ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) pada tahun 1991 dalam usaha negara ke arah mencapai status negara maju.

Najib berkata, kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus setiap tahun boleh dicapai bergantung kepada keadaan faktor dalaman dan luaran yang dilihat kukuh pada tahun ini.

Beliau berkata, jika faktor luaran begitu lemah sepertimana berlaku pada tahun 2009 dengan krisis kewangan global melanda dunia, ia akan menyukarkan negara untuk mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi.

"Sebab itu, kita mengandaikan bahawa kita boleh mencapai minima enam peratus, dan mengikut perkiraan kita, kalau kita dapat mencapai enam peratus setiap tahun hingga 2020, kita boleh mencapai status negara maju.

"Kalaulah sesuatu berlaku luar daripada dugaan kita, katalah ada krisis global sekali lagi yang berpanjangan, ini tentu akan membawa kesan buruk untuk kita mencapai matlamat dan impian kita yakni wawasan 2020,” katanya.

Najib berkata, beliau sedia menerima pandangan daripada mana-mana pihak termasuk Dr. Mahathir untuk bersama-sama mencapai hasrat Wawasan 2020. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...