Nuff Head

01 Julai 2010

Dua pekerja Indonesia dipenjara dan sebat kerana cederakan rakan

SIBU: Mahkamah Sesyen semalam menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan tiga sebatan terhadap dua pekerja ladang warganegara asing atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah kepada rakan sekerja mereka, 22 Jun lepas.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, M. Rajalingam menjatuhkan hukuman itu setelah mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada orang lain agar mematuhi undang-undang negara ini.

Katanya, meskipun kedua-dua tertuduh merupakan warganegara asing dan bekerja di sini, mereka perlu mematuhi undang-undang negara serta tidak mengambil tindakan sesuka hati.

Tertuduh, Afred Tepi, 29, dan Imeneul Lakapu, 26, didakwa mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya ke atas Yonathan Foeney di sebuah ladang kelapa sawit pada 22 Jun lepas, kira-kira jam 11.15 pagi.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 32, Kanun yang sama. Seskyen 326 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah bergaduh dengan Yonathan selepas mangsa menyuarakan rasa tidak puas hati apabila diberikan kerja yang banyak berbanding kedua-dua tertuduh.

Tidak senang dengan aduan itu, satu pergaduhan telah berlaku dan kedua-dua tertuduh telah mengambil parang serta menetak mangsa di bahagian belakang kepala.

Pihak pengurusan ladang yang dimaklumkan mengenai kejadian, kemudian menjalankan pemeriksaan dan menjumpai mangsa terbaring berlumuran dengan darah.

Siasatan lanjut kemudian mendapati kedua-dua tertuduh terbabit dengan kejadian dan dibawa ke balai polis untuk membantu siasatn lanjut.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...