KUALA LUMPUR 22 Julai – Joshua Trevino, penulis ucapan Presiden George W. Bush dari Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Insan dari 2001-2004, berpendapat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi rakan dan sekutu berpotensi Amerika Syarikat.
Menulis dalam ruangan pendapat bertajuk “The end of an affection” yang disiarkan dalam Washington Times semalam, beliau berkata, Anwar pada satu masa dulu begitu dihormati rakyat Amerika tetapi “masa itu sudah berlalu”.
"Sedekad lepas, orang Barat yang berfikiran logik dan bermaklumat percaya yang beliau seorang yang memperjuangkan demokrasi Islam yang sempurna dan toleran. Kini beliau hanya seorang pejuang dunia Islam yang cuba mengumpan Yahudi dan anti-Amerika. Amerika dan dunia Islam dan pastinya Malaysia, sepatut tidak diperlakukan sebegitu,” tulisnya.
Trevino, yang sejak sekian lama disifatkan sebagai pemerhati hal ehwal Malaysia, mempersoalkan sama ada adakah Anwar pernah menjadi sekutu atau rakan Amerika, terutamanya dengan pendekatannya yang “retorik antisemitik dalam politik Malaysia.”
Anwar lantang mengutuk tindakan Israel merampas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza kira-kira enam minggu lepas dan telah mengetuai demonstrasi yang disertai ribuan orang di depan Kedutaan AS di sini pada 4 Jun lepas sebagai membantah tindakan itu.
Pendekatan retorik antisemitik Anwar dalam politik Malaysia sejak dua tahun lepas ternyata tidak dapat diterima oleh B’nai B’rith, pertubuhan perkhidmatan kemasyarakatan tertua Yahudi, yang kemudian pada 25 Mei lepas menggesa pegawai kanan AS menghentikan hubungan dengan Anwar.
Trevino juga membuat perbandingan antara Anwar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengutuk Israel kerana merampas kapal berkenaan.
Tetapi penulis itu mendakwa dalam kes itu, Anwar telah “menyerang Yahudi dengan semua perumpamaan klasik antisemitisme - dan beliau pada masa yang sama turut mengutuk Amerika.” – Bernama
source: utusan malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan