Tidak timbul soal pihak polis cuba sembunyikan fakta sebenar
KUCHING: Tiada satu pun laporan diterima oleh pihak polis berhubung kes rogol yang melibatkan tujuh wanita Penan seperti yang disiarkan dalam akhbar semalam, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh.
Menurutnya juga, tidak timbul soal pihak polis cuba menyembunyikan fakta sebenar berkaitan kes tersebut.
“Kalau ada benda ni berlaku, datang jumpa kami untuk membuat laporan dan kami akan siasat… saya rasa tak timbul isu polis nak menyembunyikan fakta.
“Setakat ini 10.50 pagi (semalam), satu laporan pun kita tak terima berkaitan dengan masalah orang Penan yang dirogol… setakat ni saya tak dimaklum satu kes pun berkaitan dengan orang Penan dirogol,” jelas Mohmad.
Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah selesai Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi-agensi Persekutuan di sini, semalam.
Di samping itu, Mohmad turut meluahkan rasa kesal kerana laporan yang sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis tidak dibuat mengikut saluran yang sepatutnya.
“Kita bercakap mengenai mekanisme polis untuk menjalankan siasatan. “Jadi, kalau ada benda ni berlaku, datang ke balai polis untuk membuat laporan supaya kami senang siasat.
“Bukannya melalui penyerahan memorandum di bangunan Parlimen yang hendak menggambarkan pasukan polis tidak cekap,” jelasnya.
Menurut Mohmad, beliau tidak mahu kes yang sama berlaku pada tahun 2008 yang turut melibatkan kes rogol wanita Penan.
Menurutnya untuk kes rogol tersebut, pihaknya membuat siasatan ke atas laporan yang dibuat oleh pihaknya sendiri melalui maklumat laporan pertama berdasarkan laporan akhbar.
“Jadi kami tidak mahu kali kedua berlaku macam ni. Kalau betul ada (kes rogol), datang buat laporan dan kami akan siasat. “Kali ini kami minta mangsa tampil ke hadapan untuk membuat laporan,” tegas Mohmad.
Akhbar semalam melaporkan dakwaan rogol terhadap tujuh wanita Penan oleh pembalak di Baram baru-baru ini dan laporan tersebut dikemukakan oleh 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Parlimen kelmarin.
source: the borneo post
0 ulasan:
Catat Ulasan