BATU PAHAT 29 Jun - Jika sebelum ini lelaki Lombok dikenali kerana kemampuan memikat dan 'melarikan' anak gadis tempatan, kini 'populariti' mereka berkembang ke kegiatan samun pula.
Buktinya, dua daripada lima lelaki yang digelar Geng Lombok berjaya ditahan polis, kurang 10 jam selepas cuba menyamun sebuah keluarga di Parit Haji Arif, Sri Medan di sini pada 19 Jun lalu.
Kumpulan itu dipercayai bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 11 kes samun bersenjata di Yong Peng, Ayer Hitam, Sri Medan, Ledang dan Segamat.
Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Adnan Azizon berkata, dalam kejadian terbaru, semua suspek bertindak menyamun sebuah rumah, kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya, tiga daripada mereka memecah masuk rumah tersebut manakala dua lagi berkawal di luar.
"Ketika itu, tiga anak pemilik rumah yang berusia tujuh hingga 15 tahun tidur di ruang tamu manakala pemilik rumah dan isterinya tidur di dalam bilik.
"Suspek lalu memecahkan pintu bilik menyebabkan isteri pemilik rumah itu terkejut lalu menjerit ketakutan.
"Jeritan mangsa didengari jiran-jirannya yang kemudian datang untuk membantu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, panik dengan kehadiran penduduk, kumpulan penjenayah itu melarikan diri tanpa sempat mengambil hasil.
Adnan berkata, dengan bantuan anjing pengesan dan penduduk, polis berjaya menahan dua suspek di kawasan kebun sayur, Kampung River Estate di Yong Peng di sini, pukul 2.40 petang hari yang sama.
source: utusan malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan