NEW YORK: Wanita menguasai tiga daripada lima tempat teratas dalam senarai Selebriti Paling Berpengaruh 2010 yang dikeluarkan majalah Forbes, semalam.
Penyanyi, Lady Gaga, buat pertama kali termasuk dalam senarai berkenaan sementara Oprah Winfrey menguasai semula tangga nombor satu.
Oprah, pengacara rancangan sembang, memperoleh pendapatan kira-kira AS$315 juta (RM1.1 bilion) untuk membolehkannya menduduki tempat teratas senarai berkenaan untuk kali keempat.
Dia mengambil alih kedudukan itu semula daripada pemenang tahun lalu, Angelina Jolie yang jatuh ke tangga ke-18 dalam senarai kali ini.
Penyanyi R & B yang juga pemenang anugerah Grammy, Beyonce naik ke tangga kedua dengan pendapatan AS$87 juta (RM283 juta), hasil konsert jelajah dan jualan album serta menjadi duta fesyen, minyak wangi dan barangan lain.
Meksipun berlaku kemelesetan ekonomi dunia, pendapatan selebriti tetap kukuh dengan bintang tahun ini memperoleh pendapatan yang dikumpulkan berjumlah AS$4.7 bilion (RM15.3 bilion) berbanding AS$4.1 bilion (RM13.1 bilion) tahun sebelumnya.
Forbes menyediakan senarai itu berdasarkan pendapatan yang ada hubungan dengan hiburan sepanjang 12 bulan lalu serta pendedahan dalam media cetak, televisyen, radio, Internet dan sosial.
Sementara itu, pengarah filem Avatar, James Cameron termasuk dalam senarai itu buat kali pertama sejak 1999 dengan menduduki tempat ketiga selepas filem itu meraih pendapatan AS$2.7 bilion (RM8.8 bilion) Bintang pop, Lady Gaga yang tersenarai buat kali pertama, menduduki tempat keempat dengan pendapatan AS$62 juta (RM201 juta).
Bintang golf, Tiger Woods berada di tangga kelima senarai selebriti paling berpengaruh itu meskipun terbabit dalam skandal seks hingga menyebabkan dia berehat selama lima bulan dan kehilangan beberapa tajaan.
“Dia memperoleh pendapatan AS$105 juta (RM341 juta) sepanjang tahun lalu walaupun pendapatannya terjejas dan perniagaan mereka padang golfnya menghadapi ancaman kemelesetan ekonomi global,” kata Forbes. - Reuters
source: metro
0 ulasan:
Catat Ulasan