BEVERLY HILLS: Seorang hakim semalam menjatuhkan hukuman penjara 90 hari terhadap pelakon, Linday Lohan selepas mendapati dia bersalah melanggar syarat pengawasan dalam kes arak.
Lindsay juga diarah menjalani program pemulihan selepas dia gagal menghadiri kelas pendidikan alkohol seperti yang ditetapkan dalam syarat pengawasannya. Lindsay menangis sebaik saja keputusan dibacakan.
Hakim Marsha Revel membuat keputusan itu selepas mendengar kenyataan daripada kakitangan sebuah program rawatan alkohol yang sepatutnya dihadiri oleh pelakon itu.
Lindsay tidak hadir sebanyak tujuh kali sejak Disember lalu. Marsha menolak permohonan maaf Lindsay yang dilakukannya secara teresak-esak.
“Saya melakukan apa saya yang diarah dan berusaha sedaya upaya untuk mengimbangi kerjaya dan menghadiri kelas berkenaan,” kata Lindsay kepada hakim berkenaan.
“Saya bukan bercuti. Dan saya bukan mahu berjenaka,” katanya. Marsha berkata, beliau mendapati permohonan maaf Lindsay tidak ikhlas dan membandingkannya dengan ‘seseorang yang menipu tetapi menganggapnya bukan perbuatan menipu jika dia tidak ditangkap.’
Lindsay bagaimanapun tidak ditahan serta-merta. Dia dibenar melaporkan diri untuk menjalani hukuman itu pada 20 Julai tetapi diarah terus memakai gelang pengawas alkohol sehingga tarikh itu.
Jurucakap Mahkamah Los Angeles County, Jane Robinson berkata, bukan perkara luar biasa bagi mahkamah membenarkan defendan menyerah diri pada tarikh lain. Hukuman itu lebih tiga kali ganda daripada penjara sebulan yang dicadangkan oleh pihak pendakwa raya. Bagaimanapun, setakat ini, tidak jelas tempoh sebenar Lindsay akan menghabiskan masa di penjara.
Jurucakap Jabatan Syerif Los Angeles, Steve Whitmore berkata, tahanan wanita yang dipenjara bukan kerana jenayah ganas hanya menjalani seperempat daripada hukuman mereka dan ia boleh dikurangkan lagi.
Menurut Whitmore, Lindsay boleh dibebaskan dan digantikan dengan tahanan rumah tetapi ia akan bergantung kepada arahan Marsha.
Pelakon itu akan kembali ke Penjara Lynwood, tempat dia pernah masuk selama 84 minit selepas mengaku salah mengambil kokain dan memandu dalam keadaan mabuk pada 2007.
source: metro
0 ulasan:
Catat Ulasan