Nuff Head

18 Julai 2010

Kaum Melanau Perlu Fokus Kekuatan Ilmu Untuk Terus Maju

KUCHING, 10 Julai (Bernama) -- Kaum Melanau sebagai kaum minoriti di Sarawak perlu fokus kepada kekuatan ilmu untuk membolehkan mereka bersaing maju dengan kaum-kaum lain di negara ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini.

Beliau berkata kaum terbabit tidak seharusnya bergantung hanya kepada sokongan kerajaan semata-mata sebaliknya mereka perlu berdikari dan menjadi lebih kreatif dalam mewujudkan lebih banyak peluang untuk berjaya dalam hidup.

"Kaum Melanau perlu lebih yakin untuk berjaya dengan menggunakan kuasa ilmu dan pengetahuan tinggi dengan berkongsi kepakaran bersama-sama kaum lain yang sudah maju," katanya ketika berucap pada majlis berambih keluarga persatuan Melanau Kuching di Wisma Melanau di sini pada Sabtu.

Taib berkata tugas mendidik generasi Melanau yang baru juga tidak seharusnya diserahkan kepada guru dan pendidik semata-mata malah juga peranan keluarga juga penting kerana pendidikan awal bermula di rumah.

Beliau bagaimanapun bangga dengan kejayaan masyarakat Melanau selain kaum Bidayuh dalam mendapatkan peluang kerjaya di kawasan bandar walaupun mereka datang dari kawasan yang terpencil di Sarawak.

Kira-kira 1,000 kaum Melanau yang bekerja dan tinggal di Kuching hadir pada majlis tersebut yang turut menampilkan pelbagai jenis makanan tradisional masyarakat Melanau seperti Linut, Sagu, Tebaloi dan Sesar Unjur.

Kaum Melanau kebanyakan berasal dari wilayah tengah Sarawak seperti Mukah, Matu, Daro, Rajang, Belawai, Balingian dan Bintulu selain telah bermastautin di Miri, Kuching dan Sibu.

source: BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...