Nuff Head

04 September 2010

Waspada skim cepat kaya

Individu atau kumpulan terbabit kini beralih cari mangsa di luar bandar

SIBU: Orang ramai di sini termasuk penduduk di kawasan luar bandar dinasihati agar berhati-hati terhadap individu atau kumpulan tertentu yang meminta mereka melabur dalam skim cepat kaya yang menawarkan keuntungan yang lumayan.Residen Bahagian Sibu, Sim Kok Kee percaya individu atau kumpulan terbabit telah beralih dari kawasan Bandar serta mensasarkan penduduk di luar bandar untuk menyertai skim cepat kaya.

“Kita percaya mereka ini telah beralih dengan menumpukan penduduk luar bandar sebagai mangsa mereka,” ujarnya kepada pemberita selepas bersamasama dengan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sibu mengedarkan risalah berhubung risiko skim cepat kaya, semalam.

Selain mengedarkan risalah, Sim bersama Ketua Cawangan KPDNKK Sibu, Balraj Singh turut memantau harga barang di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya di Pasar Sentral di sini.

Menurut Sim lagi, orang ramai perlu berhati-hati serta menghindari skim cepat kaya kerana pada akhirnya mereka sendiri yang akan menanggung kerugian.

“Orang ramai harus sedar dan berhati-hati kerana skim ini merupakan satu perangkap. Silap-silap kita boleh kehilangan semua simpanan,” katanya sambil menambah seseorang itu perlu berkerja keras untuk mendapat keuntungan.

Ditanya mengenai kes skim cepat kaya di Bandar ini, beliau memberitahu berdasarkan laporan yang dibuat kepada KPDNKK, belum ada kes yang dilaporkan.

“Namun orang ramai harus sedar akan risiko menyertai skim cepat kaya ini,” jelasnya sambil sekali lagi menasihati orang ramai agar menjauhi skim cepat kaya.

Menyentuh mengenai pemeriksaan harga barangan, Sim melahirkan rasa puas hati dengan para perniaga yang telah bertindak mematuhi harga barangan kawalan yang telah ditetapkan oleh KPDNKK sempena musim perayaan.

source: borneo post

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...