KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) bertindak menggantung semua hubungan antara belia negara ini dengan Indonesia sama ada melalui program pertukaran belia, dialog dan lawatan kerja termasuk dialog MALINDO (Malaysia-Indonesia) yang dijadualkan berlangsung pada akhir tahun ini di Jakarta.
Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata penggantungan itu akan berterusan sehingga MBM berasakan Jakarta dan rakan badan bukan kerajaan (NGO) belia di Indonesia iaitu Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) mengambil langkah perlu bagi meredakan keadaan yang berlaku.
MBM kesal dan dukacita terhadap insiden segelintir rakyat Indonesia yang berterusan mencaci serta menghina negara dalam tunjuk perasaan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Ia bertambah buruk dengan tindakan lebih agresif menceroboh premis perniagaan rakyat Malaysia dan bertindak di luar batasan mengancam keselamatan rakyat Malaysia.
Sehingga hari ini tiada tindakan tegas diambil Jakarta dan NGO lain bagi menghalang tindakan liar kumpulan ini dan media pula dilihat memberikan publisiti meluas seolah menggalakkan lagi tindakan provokasi kumpulan berkenaan, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Mohamed Maliki turut menyelar Jakarta yang dilihat tidak serius menangani masalah yang berlaku yang akhirnya boleh menyebabkan hubungan kedua-dua negara terjejas teruk terutama isu Ganyang Malaysia.
MBM juga, katanya, turut menggesa Kementerian Belia dan Sukan menilai semula keputusan menyertai Sukan Bandung Oktober ini bagi menunjukkan Malaysia mempunyai harga diri sebagai negara berdaulat dan tidak boleh sewenang-wenangnya dicaci dan dihina.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan penolakan calon mahasiswa dari negara ini untuk mengikuti pengajian perubatan di Indonesia atas dasar semangat nasionalisme bukanlah satu perkara baru berikutan kuota dan tempat terhad.
Malaysia juga terpaksa menolak permohonan pelajar asing untuk mengikuti pengajian dalam bidang farmasi dan perubatan di negara ini berikutan tempat terhad dan sistem kuota selain terpaksa mengetatkan syarat kemasukan bagi mengikuti pengajian dalam bidang itu, katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu di GEORGETOWN, bekas Rejimen Para Komando Angkatan Darat (RPKAD) Indonesia, kecewa dan sedih di atas tindakan ganas sekumpulan rakyat republik itu yang berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta minggu lalu, selain melontar najis dan memijak Jalur Gemilang.
Berikutan itu, wakil RPKAD, Othman Ab Majid, menyerahkan memorandum bantahan serta bendera Indonesia kepada Kepala Fungsi Ekonomi, Penerangan dan Sosial Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Irzaniratni di depan pejaba konsulat di Jalan Burma, di sini, semalam.
source: berita harian
0 ulasan:
Catat Ulasan