Nuff Head

03 September 2010

Ganyang Malaysia mahu tekan Susilo

JAKARTA: Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (BENDERA) bertegas akan mengadakan gerakan 'Ganyang Malaysia' secara ekstrem dan besar-besaran mulai hari ini sehingga pemerintah Indonesia mengambil tindakan tegas menangani isu hubungan serta kedaulatan antara negara itu dan Malaysia.

Koordinatornya, Mustar Bona Ventura Manurung, berkata, tindakan itu dilakukan sebagai tanda protes terhadap pendirian ‘lembut' Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menangani isu kedaulatan dan hubungan diplomatik Indonesia dengan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumpul lebih ramai peserta demonstrasi untuk terus melancarkan gerakan ‘weeping' rakyat dan harta benda Malaysia walaupun dinasihatkan tidak bertindak ganas dalam isu ini.
Katanya, BENDERA akan memulakan demonstrasi besar-besaran selepas solat Jumaat dengan menumpukan kawasan mempunyai kepentingan dan rakyat Malaysia yang bekerja, belajar atau melancong di sini.

Mustar berkata, pihaknya juga mendesak pemerintah Indonesia menghalau pulang semua rakyat Malaysia yang berada di negara ini sebagai balasan terhadap kerajaan Malaysia yang didakwanya menghina bangsa dan kedaulatan Indonesia.

“Kita akan meningkatkan lagi gerakan Ganyang Malaysia. Demonstrasi akan diadakan esok (hari ini) bagi menyatakan pendirian kita tidak selari dengan Presiden. Motto kita ialah ‘Perang Ya, Diplomasi Tidak'.

"Segala saluran seperti berbincang, mesyuarat dan bertemu sudah dilakukan sebelum ini tetapi tidak menunjukkan hasil. Perang adalah satu-satu jalan yang dapat mengatasi masalah Malaysia mempermain dan memperleceh kedaulatan Indonesia," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...