KUCHING: Majlis Tertinggi (MT) dan semua 71 cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) - parti induk Barisan Nasional (BN) Sarawak, sebulat suara mengeluarkan usul dan ikrar taat setia kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, serta mahukan beliau terus kekal menerajui negeri Sarawak, menjadi Presiden PBB dan Pengerusi BN negeri.
Dalam usul dan ikrar taat setia yang dikeluarkan kira-kira jam 4.15 petang semalam, MT dan ketua semua 71 cawangan termasuk dari Pergerakan Wanita dan Pemuda, turut berikrar untuk berkorban habis-habisan terhadap segala cubaan sama ada dari luar, mahupun dari dalam, yang berbentuk hendak melemahkan dan mencabar kestabilan BN serta kestabilan kerajaan negeri Sarawak.
Selain dilihat sebagai cukup tegas dalam menyatakan pendirian tidak mahu Abdul Taib berundur, pendirian semua peringkat dalam PBB itu juga dilihat sebagai isyarat cukup jelas kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang sebelum ini dikatakan ada menyuarakan ura-ura untuk keluar daripada BN, kononnya atas permintaan akar umbi.
Malah difahamkan isu SUPP menjadi agenda utama mesyuarat yang dipengerusikan Abdul Taib semalam, biarpun ia tidak disebut langsung pada sidang media oleh Timbalan Presiden PBB yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Usul dan ikrar taat setia itu dikeluarkan kira-kira setengah jam selepas Abdul Taib meninggalkan mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako, dekat sini. Mesyuarat bermula sejurus Abdul Taib tiba kira-kira jam 11.35 pagi, sebelum Abdul Taib meninggalkan ibu pejabat parti itu kira-kira jam 3.35 petang, tanpa bercakap dengan kira-kira 20 wakil media yang hadir.
Mesyuarat MT PBB diteruskan semula kira-kira jam 3.45 petang dengan dipengerusikan oleh Jabu dan berlangsung selama kira-kira setengah jam, sebelum usul dan ikrar taat setia itu diputuskan.
Selain menyatakan sokongan padu kepada kepemimpinan cemerlang Abdul Taib untuk terus menerajui Sarawak serta menjamin kestabilan dan kemakmuran berterusan, usul itu juga menyatakan sokongan penuh kepada jalinan dan semangat kerjasama erat antara Taib dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam memastikan kejayaan Wawasan 2020 dan Gagasan 1 Malaysia.
Kami menyokong penuh usaha gigih Abdul Taib selaku Presiden PBB, Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi BN Sarawak, dalam menegakkan disiplin dalam BN di peringkat negeri, untuk memastikan kerjasama kuat antara parti komponen BN, demi menjamin kemenangan cemerlang serta integriti tinggi BN.
source: berita harian
0 ulasan:
Catat Ulasan