Nuff Head

30 Jun 2010

Henti isu Umno masuk Sarawak

KUCHING: Para pemimpin dan ahli Umno yang berhasrat untuk mengembangkan pengaruh mereka ke Sarawak hanya menunjukkan sifat tidak menghormati presiden mereka, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Timbalan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Stephen Rundi Utom semalam berkata Najib, telah menjelaskan bahawa Umno tidak akan menjejakkan kaki ke Sarawak selagi PBB masih relevan.

“Perdana Menteri memberi jaminan ketika Konvensyen PBB yang lalu. Justeru, tidak ada sebab atas kewujudan pendirian dan pandangan berbeza daripada mana-mana ahli Umno untuk terus melemahkan perikatan melainkan ia adalah kerja pihak pembangkang yang menggunakan nama Umno.


“Kita menghargai dan menghormati pendirian itu jika terdapat ahli-ahli Umno yang bertentangan pendapat dan biarkan mereka bersemuka dengan presiden mereka.

“Saya tidak maksudkan orang Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia tidak boleh menyertai Umno tetapi mereka tidak boleh membawa Umno ke Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Rundi, yang juga Menteri Muda (Kesihatan Awam) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar bahawa Umno Pasir Gudang, Johor mencadangkan penubuhan Umno Cawangan Sarawak untuk penduduk Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia.

Ketua Umno Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik berkata, tidak ada sebab mengapa cawangan sedemikian tidak boleh ditubuhkan untuk membolehkan penduduk Sarawak yang bekerja di Pasir Gudang menyertai Umno.

Sementara itu, Ketua Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan untuk menubuhkan Umno Cawangan Sarawak mungkin satu idea yang baik.

“Ia akan menyediakan tempat bagi penduduk Sarawak yang tinggal di Johor untuk mempunyai landasan bagi menjaga kebajikan dan keperluan mereka. Ini satu fenomena biasa dan tidak ada apa yang baru,” katanya.

Abdul Karim, yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, ramai penduduk Sarawak merupakan ahli Umno, sama ada menerusi Kelab Umno ketika mereka belajar di luar negara atau menyertai parti itu ketika menetap di Semenanjung Malaysia atau Sabah.

“Ini terjadi kerana keadaan menuntut sedemikian. Namun, keahlian itu terbatas di Semenanjung atau Sabah sahaja memandangkan setiap cawangan Umno mempunyai sempadannya tersendiri,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...