MELBOURNE - Ribuan wanita rakyat Australia memilih Malaysia sebagai destinasi utama untuk melakukan pembedahan kosmetik bagi merampingkan tubuh mereka kembali seperti gadis remaja, lapor akhbar Daily Telegraph semalam.
Maklumat itu didedahkan oleh sebuah firma perunding terkenal Australia yang ditubuhkan sejak 2004 lalu, Gorgeous Getaways yang beroperasi di sini. Ia mendakwa lebih 400 pesakit firma itu berkunjung ke Malaysia pada setiap tahun untuk tujuan tersebut.
Pengarah Gorgeous Getaways, Louise Cogan berkata, dianggarkan 80 peratus daripada pelanggan mereka melakukan lebih dua pembedahan di beberapa buah hospital terkenal di Malaysia menerusi pakej percutian pembedahan kosmetik seberang laut.
"Wanita terbabit kebanyakan yang berusia antara lingkungan 30-an dan 60-an sama ada menjalani gabungan pembedahan pada wajah muka atau payu dara mereka di samping mengempiskan perut dan menyedut lemak berlebihan," kata Cogan.
Firma itu yang sehingga kini sudah memiliki lebih 1,500 pelanggan selain mempunyai pejabat di seluruh Australia dan New Zealand memberikan faktor kos yang rendah sebagai punca tarikan termasuk tiket penerbangan dan penginapan.
Salah seorang pelanggan Gorgeous Getaways, Ambah Young berumur 18 tahun menjadi peserta paling muda akan menjalani pembedahan di Malaysia untuk menguruskan perut, payu dara dan bahagian kemaluan.
Ibu tunggal dengan dua anak perempuan itu berkata, dia berbelanja sebanyak A$13,000 (RM35,922) termasuk meminjam wang daripada seorang rakan untuk menjalani pembedahan bagi mengembalikan bentuk tubuh badannya menjadi muda semula.
"Selepas melahirkan anak bongsu saya, tubuh saya tidak berada pada keadaan asal. Ia menyebabkan saya memilih untuk menjalani pembedahan bagi mengembalikan semula zaman muda saya," kata Young. - Agensi
source: kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan