KLANG: Seorang nakhoda dan 10 awak-awak feri dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyeludup keluar 53 rakyat Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ke negara mereka, awal bulan ini.
Kesemua tertuduh yang juga warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali dan Hakim Slamat Yahya.
Di hadapan hakim Yong Zarida, nakhoda feri, Muhamad Nor, 31, dan lima operator, Zulkifli Hasim, 34, Sangkut Silaen, 50, Pantas Jefri Siman Juntan, 27, Parningotan Pakdahan, 28, dan Darma Roy Sastra Manurung, 28, didakwa membenarkan feri Aman 1 digunakan untuk mengangkut 53 rakyat Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ke negara mereka.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi Pontoon 7A, Dermaga Pelabuhan Selatan, Plot A di sini, pada pukul 11.30 pagi, 2 Jun lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (2) (a) Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Yong Zarida membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM18,000 serta seorang penjamin rakyat tempatan dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil, sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.
Sementara itu di hadapan Hakim Slamat, lima operator feri yang sama, Irwan Marpaung, 35, Komando Karo Karo, 48, Dedi, 35, Budiyono, 58 dan Henry Susilo, 34, didakwa melakukan kesalahan sama iaitu membenarkan feri itu digunakan untuk mengangkut 53 rakyat Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ke negara mereka.
Kesemua mereka juga didakwa mengikut Seksyen 23 (2) (a) Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin rakyat tempatan dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah. Kedua-dua mahkamah menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.
source: metro
0 ulasan:
Catat Ulasan