Nuff Head

28 Jun 2010

Bidayuh berjaya kerana utamakan pendidikan

TEBEDU : Bidayuh merupakan antara kaum minoriti yang paling ramai berjaya di negeri ini, kata Datin Fatimah Abdullah

Beliau yang merupakan Menteri di Pejabat Ketua Menteri berkata antara faktor yang mendorong kejayaan kaum tersebut adalah kerana mereka amat menitikberatkan pendidikan.

“Kaum Bidayuh merupakan kumpulan etnik yang kecil tetapi apabila dibuat bandingan, mereka merupakan antara kumpulan yang paling berjaya di Sarawak.


“Ini adalah kerana mereka amat menitikberatkan pendidikan walaupun serba kekurangan dari segi kemudahan dan lokasi tempat tinggal yang mejoritinya adalah di kawasan pendalaman,” katanya berucap dalam Majlis Pelancaran Outreach Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) di Kampung Mujat, semalam.

Selain itu, beliau juga memberitahu kaum Bidayuh merupakan etnik Bumiputera yang memiliki keunikan tersendiri. “Mereka amat mesra, bersopan santun dan sangat menghormati satu sama lain apatah lagi kepada tetamu.

“Dan ini merupakan satu keunikan dan satu sifat peribadi yang saya rasa harus dibanggakan dan dikekalkan kerana ia merupakan aset yang paling besar nilainya,”katanya.

Sementara itu beliau dalam ucapannya juga memberitahu sasaran terbaru dalam meningkatkan lagi pembangunan sumber manusia adalah menetapkan satu pintu di setiap rumah panjang di negeri ini untuk melahirkan seorang graduan.

“Kalau dahulu, kita nyatakan sasaran kita iaitu satu rumah panjang satu graduan, tetapi sekarang kita tetapkan sasaran yang lebih tinggi iaitu satu pintu di setiap rumah panjang mahupun kampung-kampung melahirkan sekurangkurangnya seorang graduan,” katanya.

Menurut beliau usaha tersebut adalah untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang akan ditawarkan dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menjelang 2030.

“Kita sekarang sedang bekerja keras membuat perancangan untuk SCORE yang akan dilaksanakan pada 2030 yang akan menawarkan sebanyak 1.5 juta peluang pekerjaan kepada anak-anak kita.

“Justeru, sekarang ini kita harus menitikberatkan dan menekankan pendidikan anak-anak agar mereka tidak terlepas peluang dalam mengisi jawatan pekerjaan yang ditawarkan dalam SCORE,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Frederick Bayoi.

source: link

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...