Nuff Head

10 Jun 2010

Pembantu rumah warga Indonesia sebabkan kematian majikan dipenjara 15 tahun

SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah warganegara Indonesia dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana kesalahan menyebabkan kematian majikan perempuannya dengan cara mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau, tiga tahun lalu.

Indah Wijayanti, 23, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menyebabkan kematian majikannya itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.


Indah sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 302, kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian, 2 Julai 2007.

Indah mengaku menyebabkan kematian Kek Huey Lian, 41, di rumah No: 19, Jalan Batu Perdana, Klang, antara 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 2 Julai 2007.

Timbalan Pendakwa Raya Isa Hassim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kes dan trauma yang dialami oleh keluarga mangsa di mana seorang suami telah kehilangan isteri dan anak-anak kehilangan ibu mereka.

Beliau berkata, walau apa keadaan sekalipun, tertuduh tidak sepatutnya bertindak sedemikian dan walaupun laporan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, menunjukkan tertuduh mengalami kemurungan tetapi semasa kejadian dia dalam keadaan waras dan tahu apa yang berlaku.

Peguam Jagdish Kaur yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah mengambil kira bahawa dalam kes itu wujudnya elemen penderaan oleh mangsa terhadap tertuduh di mana sebelum kejadian tertuduh hampir setiap hari dimarahi oleh mangsa dalam bahasa kesat.

"Anak guam saya mula bekerja dari jam 5.30 pagi hingga 12 tengah malam dan tidak pernah diberi cuti. Segala beban kerja rumah diuruskan oleh tertuduh termasuk anak-anak mangsa sendiri...mangsa selalu dera tertuduh bila suaminya tidak ada di rumah.

"Anak guam saya amat sedih dan minta maaf pada keluarga mangsa terutama anak bongsu mangsa yang menjadi satu-satunya pengubat kesedihan semasa kerja di rumah mangsa memandangkan dia tidak mempunyai keluarga atau sahabat di sini. Pohon mahkamah ambil kira semua faktor ini dengan menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guam saya," katanya.

Peguam Gerard Lazarus yang merupakan peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada pihak pendakwaan supaya merayu terhadap hukuman ke atas tertuduh.-Bernama 
source: metro

1 ulasan:

  1. salam, itu yg takut nak ambil pembantu rumah....berhati-hati...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...