RATANAK KIRI (Kemboja): Seorang wanita yang digelar Wanita Hutan kerana hidup liar di hutan selama 18 tahun dilapor melarikan diri semula ke dalam hutan selepas gagal menyesuaikan diri untuk hidup dengan manusia.
Rochom P'ngieng, kini berusia 29 tahun hilang di kawasan hutan tebal pada 1989 ketika berusia 11 tahun. Beliau ditemui semula pada 2007 dan disatukan kembali dengan keluarganya.Bagaimanapun, usaha memulih dan menyesuaikan dirinya dengan hidup manusia dilapor gagal.
Rochom tidak dapat bertutur bahasa tempatan, Khmer atau Phnang, lebih suka merangkak daripada berjalan, enggan berpakaian dan beberapa kali cuba lari semula ke hutan. Bapanya, Sal Lou, seorang polis berkata, Rochom semakin pulih sejak akhir-akhir ini tapi beliau tiba-tiba hilang Selasa lalu.
“Rochom menanggalkan pakaian dan kemudian lari tanpa mengucapkan sepatah katapun kepada ahli keluarga. “Sehari sebelum itu, Rochom membantu kami mengutip sayur. Pasti beliau kembali ke hutan dan kami masih gagal menemuinya,” katanya.
Rochom turut dikenali sebagai “Gadis separuh haiwan” kerana ketrampilannya yang bongkok dan lebih suka membuat bunyi binatang daripada bercakap. Sal mendakwa kehilangan anaknya buat kali kedua akibat gangguan makhluk halus hutan.
Beliau turut meminta bantuan ahli nujum untuk mencari Rochom dan kini menyimpan wang untuk membeli lembu jantan liar, babi, ayam dan empat jag arak sebagai persembahan kepada semangat hutan dan menjamin kepulangan anaknya.
Jiran dan pasukan keselamatan kini membantu keluarga Sal mencari Rochom tapi kebarangkalian menemuinya semula terlalu tipis kerana Hutan Ratanakkiri adalah antara hutan paling tebal di Kemboja.
Kumpulan hak asasi manusia tempatan bagaimanapun percaya kegagalan Rochom menyesuaikan diri dengan gaya hidup manusia menyebabkan beliau menghadapi tekanan.
“Rochom mungkin mengalami trauma ketika hilang kali pertama di hutan menyebabkan beliau gagal bertutur,” kata Penn Bunna. - Agensi
source: metro
0 ulasan:
Catat Ulasan