KUALA LUMPUR 18 Mei - Seorang kerani yang dikatakan menghantar mesej berbaur ugutan melalui laman sosial Facebook kepada saksi utama perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ditahan polis pada Jumaat lalu.
Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di Balai Polis Klang selepas datang menyerah diri pada petang itu. Bagaimanapun, dalam keterangannya, dia menafikan menghantar mesej itu untuk mengugut sebaliknya hanya sekadar nasihat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk disiasat.
"Kita telah menahan reman lelaki tersebut selama empat hari dan dia dibebaskan selepas polis mengambil keterangan lengkap hari ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di IPD Sentul di sini hari ini. Pada Rabu lalu, Mohd. Saiful Bukhari membuat laporan di IPD Sentul berhubung mesej ugutan yang diterimanya dalam Facebook.
Laporan dibuat terhadap suspek yang mendaftar dirinya atas nama Badrul Hisham dalam laman sosial itu. Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan bunuh dalam satu mesej yang dihantar kepada Mohd. Saiful Bukhari pada pukul 12.47 petang hari kejadian.
Ini merupakan ugutan kedua yang diterima oleh beliau sepanjang perbicaraan bermula sejak Februari lalu. Laporan terhadap ugutan pertama dibuat pada 9 Februari. Zakaria memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.
Source: utusan
0 ulasan:
Catat Ulasan