Nuff Head

17 Mei 2010

DAP menang di Sibu

Parti Tindakan Demokratik (DAP) berjaya merampas kerusi Parlimen Sibu daripada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya Wong Ho Leng menang tipis dengan majoriti 398 undi atau 1.07 peratus. Beliau mendapat 18,845 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, beliau menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas, Narawi Haron. Robert Lau meraih 18,447 undi, Narawi hilang wang pertaruhan apabila mendapat 232 undi.
Keputusan rasmi diumumkan Pengurus Pilihan Raya Wong See Meng di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Sibu kira-kira pada jam 10.50 malam tadi. Peratusan keluar mengundi 70 peratus. Jumlah undi rosak 208. Pilihan  raya itu membabitkan 111 peti undi termasuk undi pos.

Proses pengumuman keputusan rasmi lewat berbanding jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewat-lewatnya pada 9 malam. Wong tiba di Dewan Suarah Sibu kira-kira 15 minit sebelum keputusan rasmi diumumkan. Dalam sidang media sejurus itu, Wong yang ditemani para pemimpin Pakatan Rakyat berkata, kemenangan itu merupakan satu langkah besar untuk merubah kerajaan persekutuan. “Ini satu keajaiban dan kemenangan ini adalah untuk warga Sibu,” katanya yang ditemani ahli-ahli keluarga rapat dan ribuan penyokong DAP di luar Dewan.

Parlimen Sibu sebelum ini diwakili mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang meninggal dunia ada 9 April lepas, lantas menjurus kepada pilihan raya kecil. Pada pilihan umum 2008, Datuk Robert Lau menang dengan majoriti 3,549 undi, mengalahkan Wong dan Lim Chin Chuang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Parlimen Sibu merupakan kawasan majoriti pengundi Cina, selebihnya Melayu/ Melanau dan Iban. Senarai pemilih berdaftar mencatatkan, pengundi Cina kira-kira 67 peratus, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Iban dan lain-lain (22 peratus).

Untuk memberi peluang kepada semua, SPR membuka 45 pusat pengundian dengan 110 saluran dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan sebuah pusat latihan, sebuah rumah panjang, sebuah perpustakaan awam dan sebuah pusat rekreasi awam.

Source: The Borneo Post

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...