Nuff Head

15 Mei 2010

84 warga asing ditahan

IPOH 15 Mei – Seramai 84 warga asing termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun ditahan dalam Ops Kutip di Medan Gopeng, di sini hari ini. Operasi selama empat jam itu bermula kira-kira pukul 10 pagi dengan dianggotai oleh 25 pegawai Imigresen Negeri. Ketua Bahagian Penguat Kuasanya, Ahmad Puat Abd. Hamid berkata, operasi tersebut memberi tumpuan di kawasan restoran dan lokasi orang ramai.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 54 lelaki dan 29 wanita berusia antara 20 dan 45 tahun. Katanya lagi, kesemua mereka berasal dari Indonesia, Myanmar, Pakistan, Vietnam dan Bangladesh. “Kita menahan mereka untuk pemeriksaan lanjut bagi memastikan golongan itu memiliki dokumen perjalanan sah.
“Mereka membawa salinan dokumen perjalanan tetapi kita perlu membuat pemeriksaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Puat berkata, mereka yang ditahan itu akan dibawa ke pejabat Imigresen di sini untuk siasatan dan akan dibebaskan jika memasuki negara secara sah. Tegas beliau, mereka yang didapati memasuki negara ini secara haram akan ditahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Kita akan menghantar mereka ke Depot Tahanan Imigresen di Langkap untuk tindakan lanjut,” katanya. Sejak awal tahun ini, lebih 500 pendatang asing telah ditahan dalam Ops Kutip, Ops Selesa dan Ops Belanja di seluruh negeri ini.

Ahmad Puat memberi amaran kepada majikan agar mematuhi peraturan pengambilan pekerja asing untuk bekerja di premis-premis mereka. Katanya, mereka yang melindungi pendatang asing tanpa izin juga akan dikenakan tindakan undang-undang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...