KUCHING: Dua beradik berbangsa Iban mendakwa mereka diperhambakan selama 15 tahun semasa bekerja di sebuah kilang pau di Selangor tanpa dibayar gaji.
Kedua-dua beradik terbabit, Radin Bangan, 31 dan adiknya Simon, 30 yang berasal dari Kampung Antayan, Kropok di Serian pergi bekerja di kilang pau tersebut selepas dijanjikan pendapatan lumayan oleh seorang ejen pekerja tempatan, ketika keduanya masih berusia 16 dan 15 tahun.
Mereka memberitahu telah dijanjikan upah bulanan sebanyak RM2,000 ketika mereka dibawa ke kilang yang terletak di Puchong, Selangor tanpa kebenaran ibu bapa mereka.
Menurut mereka, setiap kali mereka meminta upah, majikan mereka akan mempersoalkan kenapa mereka perlu meminta banyak duit, sebaliknya memberitahu akan menyimpan upah untuk mereka dan akan memberikannya apabila mereka pergi.
Bercakap dalam bahasa Iban, kedua-duanya mendakwa sejak 15 tahun lepas mereka tidak pernah keluar dari asrama pekerja kilang tersebut yang menempatkan tujuh pekerja. Selain mereka berdua ialah dua lagi pekerja berbangsa Bidayuh (juga dari Sarawak) dan tiga pekerja Cina dari Perak.
“Kami tidak pernah keluar daripada asrama pekerja kilang yang memakan masa lebih sejam dari bandar berdekatan dengan semua makanan dan penginapan disediakan,” kata Simon sambil menambah mereka tidak pernah mendapat baju baru serta pergi membeli-belah sendiri.
Malah, mereka memberitahu tidak pernah menerima upah yang telah dijanjikan kepada mereka.
“Kami bekerja dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, dan berhenti rehat untuk makan malam dan kemudiannya meneruskan kerja sehingga jam 10 malam.
“Kami juga bekerja semasa cuti umum dan selama tempoh 15 tahun kami tidak pernah bercuti walaupun sehari dan tidak pernah berpeluang untuk menghubungi keluarga kami,” jelas mereka.
Bagaimanapun,mereka berkata tidak pernah bertindak melarikan diri dari asrama pekerja yang didiami seperti rakan-rakan mereka yang lain.
Walaupun insiden berkenaan amat mengecewakan namun Simon berkata dia amat gembira kerana akhirnya berpeluang untuk pulang dan menyambut perayaan Hari Gawai Dayak buat pertama kalinya selepas 15 tahun.
Kedua-dua mereka berjaya mendapat ‘peluang’ untuk balik ke Sarawak semula pada pada 12 Februari lepas, iaitu sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina dengan tambang penerbangan ditanggung oleh majikan selain diberikan ‘angpau’ sebanyak RM500 selepas mereka meminta gaji.
Ayah mereka, Bangan Jelian, 60, melahirkan rasa syukur kerana dapat bertemu semula dengan kedua-dua anaknya itu dan menyambut perayaan Gawai bersama mereka walaupun begitu kesal dengan insiden yang menimpa anaknya.
Semalam, ditemani oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Dominique Ng, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini.
Ng memberitahu bahawa kes tersebut telah diajukan kepada Jabatan Buruh namun perbicaraan kes mereka telah ditetapkan untuk dibicarakan di Selangor.
Namun, katanya dua beradik tersebut tidak dapat hadir untuk mendengar sesi perbicaraan yang dijadualkan esok di Selangor.
Ng kemudiannya berkata laporan polis telah dibuat dan arahan kepada pihak berkuasa telah dibuat untuk menyiasat kes tersebut.
Ditanya adakah beliau telah membincangkan perkara itu dengan syarikat terbabit, Ng menjawab: “Biar polis membuat siasatan dan itu adalah tujuannya.”
source: the borneo post
catatan: Bayangkan kalau hal ini terjadi pada warga Indonesia, pasti mereka mengatakan "Malaysia yang tidak membayar gaji" atau "Malaysia telah menginjak-injak bangsa Indonesia" seolah bukan majikan terbabit yang bersalah. Mereka akan berteriak dengan segala demontrasi dan slogan "Anti Malaysia" atau "Ganyang Malaysia", jauh sekali untuk mengadu pada pihak berkuasa Malaysia. Apakah bagi mereka, setiap masalah harus diselesaikan dengan berbunuhan...
fuyoooooooo 15 tahun separuh dari usia tu.majikan mana la yang mangkuk tandas btul la. Hanya kejar keuntungan semata2 sahaja.tak kaya jugak.uhhhhhhh
BalasPadam