Sekumpulan lelaki dipercayai beragama Islam yang berseronok dengan pasangan masing-masing sambil menari dalam kolam kecil dipenuhi buih di pusat hiburan di Taman Melaka Raya, ditahan lewat malam kelmarin.
Mereka dipercayai mabuk kerana mengambil minuman keras bagaikan tidak tahu malu menari dengan aksi ghairah dalam kolam itu.
Bagaimanapun, kegiatan melampau dianjurkan pusat hiburan berkenaan dihidu Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang bertindak menyerbu premis terbabit kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agamanya, Rahimin Bani berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung pesta buih berkenaan pada petang kelmarin.
Katanya, berdasarkan maklumat itu, pesta berkenaan dijangka bermula jam 10 malam dan aktiviti berunsur maksiat itu diiklankan secara terbuka menerusi kain rentang dipasang di pusat hiburan berkenaan.
“Kami menghantar dua anggota bagi menyusup ke premis berkenaan dengan menyamar sebagai pengunjung bagi mendapatkan maklumat.
“Pada dua jam pertama ketika pesta itu dimulakan ia kurang mendapat sambutan, sehinggalah hampir tengah malam barulah pengunjung mula ramai masuk ke dalam kolam disediakan,” katanya.
Rahimin berkata, menerusi risikan diperoleh mendapati kebanyakan pengunjung menari tanpa segan silu bercampur lelaki dengan wanita dan dipercayai mabuk.
Katanya, pengunjung wanita berkenaan berpakaian seksi sehinggakan ada di antaranya seolah-olah seperti bercanda di tepi pantai.
“Setengah jam selepas pesta berkenaan berada pada waktu kemuncak dengan muzik semakin bingit dipasang, Jaim yang turut disertai anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan polis menyerbu pusat terbabit.
“Serbuan dilakukan di tempat terbuka itu menyebabkan ada antara pengunjung bertempiaran lari dan pihaknya mencekup 16 wanita beragama Islam didapati berpakaian seksi melampau,” katanya.
source: metro
source: metro
0 ulasan:
Catat Ulasan