Nuff Head

11 Mac 2011

PBB : TIADA CALON KITAR SEMULA

Pucuk pimpinan tertinggi PBB lebih arif siapa bakal calon layak bertanding: Awg Tengah

GEMBIRA: Awang Tengah menyerahkan surat hak milik tanah kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah dan Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Bahagian Samarahan di Dewan Ranchan, Serian semalam.


SERIAN: Pucuk pimpinan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) lebih arif dengan bakal-bakal calon yang selayaknya untuk bertanding pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata PBB kini amat yakin dengan kemampuan calon yang bakal disenaraikan kelak , bagi mempertahankan kesemua 35 kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya negeri ke-9 , tahun 2006.

Justeru katanya, tiada istilah calon kitar semula kerana setiap yang dipilih kelak adalah daripada kalangan yang selayaknya.

“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, beliau mahu calon yang mampu menang untuk pilihan raya negeri akan datang.

“Hanya beliau (Ketua Menteri) yang tahu. Namun apa yang pasti calon-calon yang bakal dipilih kelak diyakini mampu berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah dan Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Bahagian Samarahan di Dewan Ranchan di sini semalam.

Tambah Awang Tengah, soal kelanjutan usia tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai kemampuan wakil rakyat yang dipilih untuk berkhidmat.

Sebaliknya menurut beliau, selagi individu berkenaan berkemampuan dan berkeupayaan untuk menjadi wakil rakyat yang terbaik, soal usia bukan penghalangnya.

“Ketua Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian adalah contoh calon kitar semula yang tidak berkemampuan.

“Beliau telah bertanding sebanyak tiga kali dan tidak pernah menang walau sekali pun.

“Tapi sebaliknya yang berlaku dalam BN, hanya mereka yang mampu menang akan dicalonkan atas kepercayaan parti dan pucuk pimpinan tertinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) difahamkan akan meletakkan calon di kesemua kerusi DUN kawasan pengundi Bidayuh pada pilihan raya negeri akan datang.

Awang Tengah yang juga merupakan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua bagaimanapun berkata ia bukan halangan yang besar kepada BN berdasarkan kepada prestasi buruk SNAP sendiri.

“Terpulang kepada mereka (SNAP) jika mahu meletakkan calon di kesemua kawasan pengundi Bidayuh dan kami tidak gentar dengan perkara ini,” ujarnya lagi. sumber Utusan Borneo

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...