Nuff Head

12 September 2012

Letak Kepentingan Parti Ditahap Tertinggi: Wan Junaidi


Ahli PBB hendaklah patuh kepada struktur kepimpinan dan meletakkan kepentingan parti di tahap paling tinggi. Sekiranya budaya yang telah disemai sekian lama ini masih diamalkan khususnya oleh golongan muda, nescaya PBB akan kekal menjadi tonggak kekuatan BN Sarawak.

Jadilah pemimpin PBB yang sebenar walaupun berbeza pendapat dan pendirian namun tetap mematuhi perintah pihak tertinggi parti dan sentiasa meletakkan kesetiaan dan kepentingan terhadap parti paling utama!

Permuafakatan ahli PBB tonggak kekuatan BN

by Rusnan Mustafa.
Utusan Borneo 11 September 2012, Selasa

Setiap lapisan ahli patuh kepada struktur kepimpinan dan meletakkan kepentingan parti di tahap tertinggi

KUCHING: Permuafakatan setiap ahli pelbagai peringkat dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi tonggak kekuatan Barisan Nasional (BN) untuk terus kukuh sebagai parti nombor satu di Sarawak.

Exco PBB Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan bahawa budaya yang telah lama disemai dalam parti itu menjadikan setiap lapisan ahli PBB patuh kepada struktur kepimpinan pentadbiran parti dengan meletakkan kepentingan parti di tahap paling tinggi berbanding kepentingan peribadi.

“Ahli pelbagai peringkat dalam PBB merupakan orang yang patuh kepada kepimpinan parti dan permuafakatan telah kita (ahli PBB) semai sejak sekian lama dan terus kita jaga.

“Sebab itulah PBB menjadi kukuh, kuat dan menjadi benteng dan tonggak kekuatan BN di Sarawak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri 2012 DUN Demak Laut yang dihadiri lebih 300 ahli PBB kawasan itu di sini malam kelmarin.

“Kita mesti menjadi pemimpin parti yang sebenarnya walaupun kita mempunyai pendirian yang berlainan, pendekatan berlainan tetapi tujuan kita mestilah sama iaitu kepentingan parti didahulukan kepentingan peribadi dikemudiankan,” tambahnya.

Malah, Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Santubong berkata, setiap ahli dalam PBB juga akur dan menerima keputusan daripada pucuk pimpinan parti, menjadikan persefahaman dapat dikekalkan sehingga hari ini.

“Kalau pucuk pimpinan parti sudah memberi keputusan di situlah letaknya perjuangan kita dan dipertahankan keputusan parti sedemikian,” tegasnya.
Menyentuh mengenai kemajuan yang telah dikecapi di kawasan Santubong, beliau memberitahu bahawa lebih banyak lagi perancangan pembangunan dirancang oleh kerajaan untuk terus memajukan kawasan itu.

“Untuk itu, saya meminta setiap lapisan masyarakat bekerjasama antara satu sama lain untuk bersama-sama mengecapi kemajuan ini,” ujarnya.

Hadir sama ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Cawangan PBB Demak Laut Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Ketua Pergerakan Wanita Demak Laut Fatimah @ Rokiah Temben, Ketua Pergerakan Pemuda Demak Laut Wan Hamzah Wan Paie, Datuk Paruwadi Musa dan tetamu kehormat lain.

- Posted using BlogPress from my New iPad

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...